Friday, June 9, 2017

Akhbar Sinchew Daily Sifatkan Pakatan Harapan "Tiada Kepala"



AKHBAR Sinchew Daily bertarikh 5 Jun 2017 memaparkan tulisan Neo Shao Min melalui ruangan Pendapat Yanlu yang mempersoalkan siapa sebenarnya calon Perdana Menteri bayangan pakatan pembangkang.

Tarikh pilihan raya umum (PRU) semakin hampir tetapi calon Perdana Menteri bayangan Pakatan Harapan masih belum ada kata sepakat. Isu ini pun mereka masih belum dapat selesaikan, bagaimana mahu ubah dan memerintah kerajaan?

Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berusia 91 tahun pun sudah dilihat pihak luar sebagai salah seorang calon Perdana Menteri bayangan tetapi ramai sudah tidak mempercayai beliau.

Jika memang Dr. Mahathir masih hebat dan mampu menjadi calon Perdana Menteri bayangan, ini adalah satu perkara yang luar biasa yang belum pernah berlaku sebelum ini di mana-mana negara.

Sudah tentu Dr. Mahathir sendiri lebih jelas dan faham bahawa beliau tidak mungkin menjadi Perdana Menteri lagi.

Jika diizinkan juga, ini jelas menunjukkan belum ada calon yang disokong sebulat suara dalam Pakatan Harapan.

Sekalipun Pakatan Harapan masih tiada calon, tidak mungkin mereka akan meminta Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri bayangan mereka.

Selama ini Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai Perdana Menteri bayangan terbaik pembangkang tetapi beliau kini dalam penjara.

Sebelum ini mungkin tidak ada orang merasa ragu-ragu bahawa Anwar telah mendapat restu daripada ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan.

Namun, Pakatan Harapan hari ini bukan lagi seperti Pakatan Rakyat dahulu, Pas sudah meninggalkan mereka dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula berko­bar-kobar mahu menggantikan kekosongan itu.

Anwar mungkin Perdana Menteri bayangan PKR, DAP dan PAN tetapi PPBM tentu mahu pemimpin mereka dicalonkan.

Walaupun ketiga-tiga parti Pakatan Harapan ramai calon berpotensi, adakah pilihan akhir mereka masih mahukan seseorang yang meringkuk di dalam penjara untuk memimpin?

Orang ramai melihat Anwar mahupun Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan calon Perdana Menteri bayangan yang sesuai.

Masa depan Anwar tidak menentu kerana ada bersangkut paut banyak isu politik silam. Selepas keluar daripada penjara kelak, adakah beliau masih boleh memimpin Pakatan Harapan? Muhyiddin pula belum tentu mampu menawan Putrajaya.

Namun, Pakatan Harapan masih belum ada calon lebih sesuai, ini satu masalah besar bagi mereka.

Pemimpin adalah roh parti, mana-mana parti yang mahu berjalan jauh perlu ada pandangan dan keberanian serta wawasan dalam kepimpinannya.

No comments: